BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, April 17, 2010

ISU SEMASA


Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu usaha untuk menaik taraf Darul Quran terus digiatkan supaya dapat dijadikan sebuah kolej universiti atau universiti dalam tempoh beberapa tahun lagi.Timbalan Perdana Menteri berkata, perancangan ke arah itu telah dimulakan oleh Darul Quran yang menjalinkan kerjasama dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk melahirkan pelajar peringkat ijazah pertama.

Beliau berkata, perkara itu dapat dicapai dengan syarat tenaga pengajar Darul Quran perlu melengkapkan diri mereka dengan kelulusan peringkat ijazah sarjana atau doktor falsafah (PhD).Katanya, dengan cara itu Darul Quran dapat diangkat sebagai institusi pengajian al-Quran terulung di negara ini."Saya juga bersama dengan saudara berkongsi hasrat dalam tempoh tak berapa lama lagi Darul Quran dapat diiktiraf sebagai kolej universiti atau universiti.Saya yakin perancangan ini sudah dimulakan dan harus ditingkatkan lagi seberapa segera yang boleh," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Ramah Mesra bersama warga Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom; Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan Pengetua Darul Quran, Che Ibrahim Che Man.

Pada masa ini, Darul Quran menawarkan program Diploma Tahfiz al-Quran untuk tempoh pengajian enam semester atau tiga tahun, manakala pelajar yang layak akan dipertimbangkan untuk pemberian biasiswa.Sementara itu, Muhyiddin mencadangkan supaya Darul Quran turut memperkenalkan bidang ilmu lain di samping bidang pengajian al-Quran sebagai terasnya.

Dengan cara itu, katanya, para pelajar yang menamatkan pengajian bukan sahaja menjadi pakar al-Quran bahkan turut mempunyai kepakaran dalam bidang profesional.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin menasihatkan pelajar Darul Quran tidak mempersia-siakan peluang untuk belajar secara percuma di institusi itu."Ini kerana kerajaan memperuntukkan RM12 juta setahun untuk menampung kos operasi Darul Quran, manakala untuk tujuan biasiswa pula sebanyak RM3 juta," katanya.

No comments:

Post a Comment