BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, July 22, 2010

.::Kisah berpisahnya roh dari jasad::.

Dalam sebuah hadith daripada Aisyah r.a katanya, "Aku sedang duduk bersila di dalam rumah. Tiba-tiba Rasulullah s.a.w. datang dan masuk sambil memberi salam kepadaku. Aku segera bangun kerana menghormati dan memuliakannya sebagaimana kebiasaanku di waktu baginda masuk ke dalam rumah. Rasulullah s.a.w. bersabda, "Duduklah di tempat duduk, tidak usahlah berdiri, wahai Ummul Mukminin." Maka Rasulullah s.a.w. duduk sambil meletakkan kepalanya di pangkuanku, lalu baginda berbaring dan tertidur.

Maka aku hilangkan uban pada janggutnya, dan aku dapat 19 rambut yang sudah putih. Maka terfikirlah dalam hatiku dan aku berkata, "Sesungguhnya baginda akan meninggalkan dunia ini sebelum aku sehingga tetaplah satu umat yang ditinggalkan olehnya nabinya." Maka aku menangis sehingga mengalir air mataku jatuh menitis pada wajah baginda.Baginda s.a.w. terbangun dari tidurnya seraya bertanya, "Apakah sebabnya sehingga engkau menangis wahai Ummul Mukminin?" Masa aku ceritakan kisah tadi kepadanya, laluRasulullah s.a.w. bertanya, "Keadaan bagaimanakah yang hebat bagi mayat?" Kataku, "Tunjukkan wahai Rasulullah!"

Rasulullah s.a.w. berkata, "Engkaulah katakan!," Jawab Aisyah r.a : "Tidak ada keadaan lebih hebat bagi mayat ketika keluarnya mayat dari rumahnya di mana anak-anaknya sama-sama bersedih hati di belakangnya. Mereka sama-sama berkata, "Aduhai ayah, aduhai ibu! Ayahnya pula mengatakan: "Aduhai anak!" Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Itu juga termasuk hebat. Maka, manakah lagi yang lebih hebat daripada itu?" Jawab Aisyah r.a : "Tidak ada hal yang lebih hebat daripada mayat ketika ia diletakkan ke dalam liang lahad dan ditimbuni tanah ke atasnya. Kaum kerabat semuanya kembali. Begitu pula dengan anak-anak dan para kekasihnya semuanya kembali, mereka menyerahkan kepada Allahberserta dengan segala amal perbuatannya." Rasulullah s.a.w. bertanya lagi, "Adakah lagi yang lebih hebat daripada itu?" Jawab Aisyah, "Hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih tahu."

Maka bersabda Rasulullah s.a.w.: "Wahai Aisyah, sesungguhnya sehebat-hebat keadaan mayat ialah ketika orang yang memandikan masuk ke rumahnya untuk memandikannya. Maka keluarlah cincin di masa remaja dari jari-jarinya dan ia melepaskan pakaian pengantin dari badannya. Bagi para pemimpin dan fuqaha, sama melepaskan serban dari kepalanya untuk dimandikan."Di kala itu rohnya memanggil, ketika ia melihat mayat dalam keadaan telanjang dengan suara yang seluruh makhluk mendengar kecuali jin dan manusia yang tidak mendengar. Maka berkata roh, "Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah, lepaskanlah pakaianku dengan perlahan-lahan sebab di saat ini aku berehat dari kesakitan sakaratul maut." Dan apabila air disiram maka akan berkata mayat, "Wahai orang yang memandikan akan roh Allah, janganlah engkau menyiram air dalam keadaan yang panas dan janganlah pula dalam keadaan sejuk kerana tubuhku terbakar dari sebab lepasnya roh," Dan jika mereka memandikan, maka berkata roh: "Demi Allah, wahai orang yang memandikan, janganlah engkau gosok tubuhku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh."

Apabila telah selesai dari dimandikan dan diletakkan pada kafan serta tempat kedua telapaknya sudah diikat, maka mayat memanggil, "Wahai orang yang memandikanku, janganlah engkau kuat-kuatkan dalam mengafani kepalaku sehingga aku dapat melihat wajah anak-anakku dan kaum keluargaku sebab ini adalah penglihatan terakhirku pada mereka. Adapun pada hari ini aku dipisahkan dari mereka dan aku tidakakan dapat berjumpa lagi sehingga hari kiamat." Apabila mayat dikeluarkan dari rumah, maka mayat akan menyeru, "Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah meninggalkan isteriku menjadi janda, maka janganlah kamu menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi yatim, janganlah menyakiti mereka. Sesungguhnya pada hari ini aku akan dikeluarkan dari rumahku dan meninggalkan segala yang kucintai dan aku tidak lagi akan kembali untuk selama-lamanya."

Apabila mayat diletakkan ke dalam keranda, maka berkata lagi mayat, "Demi Allah, wahai jemaahku, janganlah kamu percepatkan aku sehingga aku mendengar suara ahliku, anak-anakku dan kaum keluargaku. Sesungguhnya hari ini ialah hari perpisahanku dengan mereka sehingga hari kiamat."

Monday, July 19, 2010

UMAT ISLAM HARI INI....DIMANA???


Tatkala keganasan di dunia ini semakin mengancam dan menindas umat Islam, masih ada golongan yang ingin memperjuangkan dan menegakkan syiar Islam. Tidak lekang di telinga kita berita mengenai penyeksaan dan penindasan ke atas umat Islam kita yang seringkali menjadi tajuk utama berita dunia saban hari. Contohnya; isu bantuan kemanusian di Gaza, kancah politik yang berlaku di Iraq, isu niqab wanita Islam di Eropah, isu nuklear Iran, dan pelbagai lagi cerita mengenai Islam pada akhir zaman ini. Terbuktilah hadis Rasulullah SAW yang menyatakan di akhir zaman, umat Nabi Muhammad SAW akan menempuhi zaman fitnah, penindasan dalam pelbagai hak, dan termasuklah antara yang pasti akan berlaku iaitu fitnah Dajjal.

Di negara kita; Malaysia, masih banyak gejala yang kurang sihat kian menjalar di dalam diri masyarakat kita, contohnya masalah politik yang menjadi perbualan harian dalam kalangan warga masyarakat, gejala sosial para remaja dan pelbagai lagi pekara negatif yang berlaku di sekeliling kita. Perkara yang paling merisaukan kita adalah golongan remaja kita pada masa kini. Hiburan yang melalaikan telah pun berjaya melekakan para pemuda Islam. Inilah senjata kaum Yahudi laknatullah 'alaihim ajma'in yang telah berjaya meresap ke dalam jiwa umat Islam seluruh dunia.

Baru-baru ini kita digemparkan dengan isu judi. Samada aktiviti ini dipantau atau diurus oleh mereka yang ingin melakukan perjudian, ia adalah satu perkara yang membimbangkan umat Islam kerana jelas dinyatakan dalam Al-quran, surah Al-Maidah ayat 90, yang bermaksud:


Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.


Setiap kemungkaran, bukan sahaja judi, tetapi juga ketagihan arak, ketagihan seks, bersubahat melakukan kezaliman, penipuan, jenayah rasuah, salah guna kuasa dan seumpamanya juga adalah sebahagian dari dosa besar yang seharusnya menjadi musuh utama umat Islam dan negara. Pada prinsipnya mereka yang terlibat dengan maksiat dan perbuatan dosa besar boleh dikatakan telah hilang kewarasan akal kerana dengan sengaja merosakan nama baik sendiri, merosakkan kepercayaan orang lain terhadap diri dan mengganggu keamanan masyarakat, dan yang lebih penting ialah perbuatan-perbuatan ini sebenarnya semakin menjauhkan diri seseorang dari Allah s.w.t.


Ke mana hilangnya jati diri generasi muda Islam yang bakal mentadbir Islam dan negara kita? Masih mampukah kita sebagai golongan remaja untuk memerintah negara ini berlandaskan lunas-lunas Islam apabila sampai masanya generasi kita pula yang akan mentadbir agama dan memerintah negara ini? Tepuk dada, tanyalah iman.


Mungkin benarlah umat Islam hari ini telah ditimpa dengan penyakit yang sangat dahsyat. penyakit itu adalah cinta akan dunia takut akan kematian.Bertetapan dengan hadith rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam yang bermaksud; Akan tiba masanya umat-umat lain akan mengajak satu sama lain untuk membinasakan kamu(umat Islam) sebagaimana orang mempelawa satu sama lain kepada dulang makanan (menjamah hidangan makanan). Seorang sahabat bertanya" apakah disebabkan bilangan kami sedikit pada masa itu ya Rasulallah?" Baginda menjawab "bahkan bilangan kamu diwaktu itu adalah ramai tetapi kamu adalah ghutha' (sampah-sarap dan buih) di atas air ketika banjir.Allah akan mencabut rasa ketakutan dari dada musuh kamu dan dia akan mencampakkan dalam hati kamu penyakit
al-wahn." Seorang sahabat bertanya pula,"Ya Rasulallah,apakah al-wahn itu?" Jawab Rasulullah," Cinta dunia dan takut mati."


Berpesan-pesanlah kepada kebaikan, sempurnakanlah solat lima waktu yang difardhukan kepada kita untuk dikerjakan pada setiap masa dan di mana sahaja kita berada. Kenali, pelajari, baca dan fahamilah kitab suci Al-Quran, kerana inilah mukjizat Rasulullah SAW yang masih ada sehingga kini yang menjadi panduan kita pada setiap masa di dunia ini.


Biasakan diri kita untuk mencintai dan menjejakkan kaki ke rumah-rumah Allah. Pada zaman kini, para pemuda dapat dilihat dalam jumlah yang sangat ramai ke masjid pada waktu solat Jumaat sahaja dan pada waktu lain pula,hanya golongan tua yang menjadi jemaah di rumah-rumah Allah. Hadis Rasulullah SAW banyak menekankan bahawa solat secara berjemaah itu lebih banyak pahalanya daripada solat secara bersendirian. Kehidupan para remaja sekarang jelas lebih didominasi hiburan-hiburan yang melalaikan daripada pemikiran yang berpaksikan tentang kebesaran Allah SWT, azab neraka, dosa, pahala serta kehidupan selepas mati iaitu alam barzakh dan alam akhirat yang pasti.





Kesimpulannya, marilah kita semua umat Islam bersama-sama mendekatkan diri kepada Allah SWT. Carilah cinta yang paling utama iaitu Allah SWT dan cinta Rasulullah SAW, dan daripada dua cinta suci ini, pasti kita akan mendapat cinta yang sepatutnya mekar di dalam kehidupan kita di dunia ini. Janganlah kita menjadi hamba Allah SWT yang cintakan dunia dan takutkan mati kerana cinta dunia ini adalah cinta yang hanya sementara, yang kekal dan abadi tentunya adalah akhirat. Mohonlah padaNya supaya kita mendapat naungan,rahmat & redhaNya serta syafaat Rasul kita, Nabi Muhammad SAW. Selawat junjungan ke atas baginda dan keluarga baginda.

Tuesday, July 13, 2010

Shaaban menjengah kembali



Rejab sudah meninggalkan kita dengan seribu satu kelebihan. Berbahagialah mereka yang mengambil sepenuh kesempatan dari fadhilatnya. Jika diizinkan Allah kita akan berkesempatan bersama Rejab pada tahun hadapan.

Kini muncul pula bulan Shaaban. Bulan yang berada di tengah-tengah antara Rejab dan Ramadan. Bulan yang juga penuh dengan fadhilat dan keberkatannya....Shaaban yang sedang menghiasi hari-hari kita, apakah kita tahu erti disebalik bulan ini? apakah kita ada ambil ihtimam daripada fadhilat bulan ini?? oleh itu,,marilah sama-sama kita menghayati dan memahami bulan Shaaban ini sepertimana kita telah ketahui bahawa kelebihan Rejab atas bulan -bulan yang lainnya seperti kelebihan Quran ke atas segala Qalam. Kelebihan Shaa`ban atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihan atas segala anbia'(nabi-nabi). Kelebihan Ramadhan atas bulan yang lain seperti kelebihan Allah atas segala makhluknya. Semoga kita dapat peroleh manfaat yang berguna bukan sahaja untuk diri sendiri bahkan kepada seluruh umat Islam dan yang paling penting,kita pasakkan segala niat suci kita ini kerana Allah Subhanahu Wata'ala...Di sini,saya catatkan sedikit info mengenai bulan Shaaban,,renung-renungkan dan selamat beramal :-)

APA ITU SHAABAN?

Erti Syaaban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraiysh pada waktu itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir bagi menyambut ketibaan bulan yang seterusnya (bulan Ramadhan ialah bulan yang panas). Pada malam kelima belas adalah malam Nisfu Syaaban. Mengikut tradisi Islam, baginda Nabi Muhammad s.a.w. berkata yang malam ini Allah akan mengumpulkan buku amalan yang lama dan menggantikan dengan yang baru bagi tahun yang akan datang.

Apabila Rasulullah datang, Baginda mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Diantara hadis yang paling masyhur ialah; Rasulullah bertanya kepada sahabat-sahabatnya,

“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.”

PERISTIWA-PERISTIWA PENTING DI BULAN SHAABAN

1. PERTUKARAN ARAH KIBLAT

Peristiwa yang paling bersejarah yang berlaku pada bulan Syaaban ialah peristiwa pertukaran kiblat. Allah swt telah mengarahkan Rasul-Nya memindahkan kiblat sembahyang daripada masjid al-Aqsa di Bait al-Maqdis ke Kaabah di Mekah. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada seorang sahabat al-Bara' bin Azib maksudnya: "Selepas Rasulullah sampai ke Madinah al-Munawarah, baginda dan para sahabat bersembahyang berkiblatkan Baitulmakdis selama lebih kurang enam belas atau tujuh belas bulan. Selepas tempoh tersebut barulah diturunkan wahyu menyuruh baginda berpaling ke Mekah. Peristiwa pertukaran kiblat berlaku di dalam masjid Qiblatain. Suruhan pertukaran kiblat berlaku ketika Rasulullah sedang bersembahyang Asar.

Pertukaran kiblat menjadi isu besar di Madinah. Orang Yahudi mengambil kesempatan menabur fitnah memperlekehkan dakwah Rasulullah. Lalu diturunkan ayat 142 Surah al-Baqarah. Maksudnya: Akan berkata orang-orang yang kurang akalnya: ''Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblat mereka (Baitulmaqdis) yang dahulunya mereka telah berkiblat kepadanya. Katakanlah: ''Kepunyaan Allah timur dan barat, dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.

Peristiwa ini berlaku pada tahun kedua Hijrah pada bulan Syaaban. Kebenaran daripada Allah swt untuk kembali berkiblatkan Kaabah adalah contoh doa Rasulullah yang dikabulkan oleh Allah swt. Ini kerana Rasulullah sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah. Permintaan Rasulullah tersebut telah diperkenankan oleh Allah swt pada bulan Syaaban.

2. PERANG ZAT AL-RIQA'

Dalam pertempuran ini seramai 400 tentera Islam terdiri daripada berkuda dan berjalan kaki telah menghadapi kekuatan musuh daripada Banu Muharib dan Banu Tha’labah daripada Ghatfan di satu tempat di Najd bernama Zat al-Riqa’. Perang ini berlaku pada bulan Syaaban tahun ke-4 Hijrah. Perang ini berakhir dengan kemenangan di pihak Islam apabila kedua-dua kabilah musuh telah melarikan diri.

3. PERANG BANU AL-MUSTALAQ DARIPADA KHUZA'AH

Seramai 1, 000 tentera Islam telah bertembung dengan Banu al-Mustalaq di satu tempat bernama al-Mari’ pada bulan Syaaban tahun ke-5 Hijrah. Pihak musuh telah melarikan diri selepas berlaku peperangan yang pendek.

4. MALAM NISFU SYAABAN

Sesungguhnya Islam memberikan pelbagai peluang keemasan yang seharusnya diterokai dan diikuti oleh setiap penganutnya. Peluang yang diberikan oleh Islam ialah dengan memberikan pelbagai tawaran dan ganjaran yang akan diperolehi sekiranya mereka berusaha untuk mematuhi ajarannya. Inilah yang mencorakkan keindahan ajaran Islam. Semua ini bertindak sebagai pencetus daya motivasi mereka untuk terus berusaha dan bekerja di samping mengejar segala kebaikan dan menjauhi segala kejahatan. Kelebihan yang baik itu seterusnya diberikan hanya kepada mereka yang berusaha mencari kebaikan dan menghapuskan kejahatan.

Antara amalan yang amat digalakkan dilakukan dalam bulan ini ialah berdoa. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Umar, Rasulullah bersabda bermaksud, Dalam solat lima waktu yang doanya tidak ditolak ialah semasa malam Jumaat, pada malam 10 Muharram, pada malam pertengahan bulan Syaaban dan pada dua malam raya, iaitu malam hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.
Sabda Rasulullah: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)



Di samping memohon doa, umat Islam juga digalakkan untuk bertaubat dan memohon keampunan di atas keterlanjuran mereka dalam bulan ini. Rasul S.A.W bersabda bermaksud, Apabila tiba malam nisfu Syaaban, telah datang malaikat Jibril lalu berkata, pada malam ini, pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka. Maka dirikanlah solat dan pohonlah doa, sesungguhnya pada malam itu telah dibuka 300 pintu rahmat. Maka Allah mengampuni orang-orang yang tidak menyekutuiNya kecuali ahli sihir dan dukun, orang yang bermusuhan, peminum arak, pezina, orang yang memakan riba, orang yang derhaka kepada ibubapanya, orang yang suka mengadu domba atau batu api, dan orang yang memutuskan persaudaraan. Sesungguhnya mereka itu tidak akan diampun sehinggalah mereka benar-benar bertaubat dan tidak akan mengulanginya.



Selain itu,amalan yang amat digalakkan dan amat popular dalam kalangan umat-umat Islam di bulan ini ialah puasa. Amalan ini bolehlah dianggap sebagai satu amalan yang agak sukar, kerana ia benar-benar menguji ketahanan mental, emosi dan fizikal seseorang. Bagaimanapun, inilah antara amalan yang banyak ganjarannya jika dilakukan dalam bulan ini. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah bermaksud, Barangsiapa berpuasa sehari dalam bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi rakan taulan Nabi Allah Yusuf di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Ayub dan Nabi Daud. Jika dia berpuasa sebulan dalam bulan ini, dimudahkan Allah akan saat matinya, dan terlepas dari kegelapan alam kubur, bebas dari hura-hara munkar dan nankir, ditutup Allah akan aibnya, dan diwajibkan syurga ke atasnya.

Terdapat banyak nas Hadith yang menceritakan tentang fadhilat puasa sunat dalam bulan Shaaban,antaranya:

1. Telah memberitahu kepada kami Abdullah bin Yusuf Telah memberitahu kami Malik daripada Abi An-Nadhri daripada Abi Salamah daripada Sayyidatina ‘Aishah telah berkata : Rasulullah S.A.W berpuasa sehingga kita mengatakan dia tidak berbuka dan baginda S.A.W berbuka sehingga kami berkata dia tidak berpuasa. Dan aku tidak pernah melihat Rassulullah S.A.W menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda S.A.W banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya’ban. (Diriwayatkan oleh imam Bukhari di dalam sohihnya dan imam Muslim di dalam sohihnya)
2. Telah memberitahu kami Muaz bin Fudhalah telah memberitahu kami Hisham daripada Yahya daripada Abi Salamah sesungguhnya sayyidatina ‘Aishah telah memberitahunya dengan berkata : Nabi S.A.W tidak banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya’ban, dan baginda S.A.W telah berpuasa sebulan penuh pada bulan Sya’ban. Dan adalah baginda S.A.W bersabda : Lakukanlah amalan yang mana kamu mampu membuatnya maka sesungguhnya Allah tidak membebankan ( mewajib )kamu sehingga kamu merasa berat dengan bebanan. Dan apa yang disukai oleh Rasulullah S.A.W adalah sembahyang(sunat) yang sentiasa dibuat sekalipun sedikit. Dan adalah baginda S.A.W apabila mendirikan sembahyang maka baginda S.A.W sentiasa berterusan di dalam berbuat demikian.
( Diriwayatkan oleh imam Bukhari di dalam sohihnya dan imam Muslim di dalam sohihnya)
3. Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."

Sekian...

Sunday, July 11, 2010

Surah al-Fatihah

Membaca surah al-Fatihah adalah salah satu daripada rukun-rukun solat. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Tidak sah solat bagi yang tidak membaca al-Fatihah." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Jika sesiapa yang meninggalkan al-Fatihah maka solatnya tidak sah (batal).


Setiap kali membaca al-Fatihah dalam solat, kita sebagai hamba sebenarnya
berkomunikasi dengan Allah. Inilah dialog dua hala antara sang hamba dan Khalik.
Rasulullah s.a.w meriwayatkan bahawa Allah berfirman yang bermaksud:
"Aku bahagikan solat antaraku dan hamba-Ku kepaa separuh, dan bagi hamba-Ku
apa yang dipintanya..."

Hamba : Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.

Khalik : Hamba-Ku telah mengingati-Ku


Hamba : Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Khalik : Hamba-Ku telah mengingati-Ku


Hamba : Yang menguasai hari pembalasan.


Khalik : Hamba-ku telah mengagungkan-Ku.


Hamba : Hanya Engkau yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah

kami meminta pertolongan.


Khalik : Hamba-ku telah memuliakan-Ku.


Hamba : Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.


Khalik : Ayat ini antara Aku dan hamba-Ku, dan hamba-Ku berhak atas

apa yang dia minta.


Hamba : (iaitu) jalan orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka,

bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan)

mereka yang sesat.


Khalik : Ini semua untuk hamba-Ku, dan hamba-Ku berhak atas apa yang

dia minta.


(Hadis riwayat Muslim, al-Tirmizi dan al-Nasa'i)

Thursday, July 8, 2010

~tOp uP~

“Maaf,baki anda tidak mencukupi untuk membuat panggilan”..
Kita sering saja mendengar perkataan ini daripada operator telefon apabila kita kehabisan kredit.Selalunya,apabila kita ingin membuat panggilan,lebih-lebih lagi kepada yang tersayang,apabila mendengar perkataan ini keluar dari telefon,kita akan berasa kecewa dan terus bergegas mencari bekalan ‘topup’.Kita akan memastikan bahawa kredit kita sentiasa penuh.Tetapi,pernah tidak kita aplikasikan ini kepada sesuatu yang lain?

Cuba kita bayangkan.Satu hari,satu suara berkata kepada kita..“Maaf,pahala anda tidak mencukupi untuk membolehkan anda masuk ke syurga”.Pernah tak kita berfikir seperti itu?Bayangkan di hari kebangkitan nanti,perkataan seperti itu diucapkan kepada kita.Bagaimana agaknya perasaan kita ketika itu?Apakah kita masih boleh men ‘top-up’ pahala kita di saat pahala amalan kita yang terlampau sedikit ini dihitung.Bayangkan rasa kecewa yang menyelebungi diri kita,melebihi segala kekecewaan kita gagal dalam peperiksaan di dunia,kecewa dalam interview,kecewa dalam kerja,dalam segalanya.
Kita selalu menangis apabila kita kita kehilangan sesuatu yang amat berharga kepada diri kita.Tetapi,pernah tidak sekali kita menangis mengenangkan dosa-dosa silam kita.Pernah tidak kita mendengar kisah-kisah para alim ulama’,tabi’ tabii’n dahulu,yang selalu menangis mengenangkan dosa mereka yang sedikit.Sedangkan kita? Dosa kita terlalu sedikitkah berbanding mereka yang menyebabkan terlalu sukar untuk kita menitiskan air mata.Tetapi,apabila kekasih kita meninggalkan kita,sampai bengkak mata kita menangis.Betapa lemahnya iman kita..

Ingatkah kita akan kisah Syadad bin Aus? Kenal siapa Syadad bin Aus? Kata Abu Darda’ ..“Setiap umat ada orang fakih,dan antara orang fakih umat ini ialah Syadad bin Aus”.Kembali kepada kisah Syadad bin Aus.Satu malam,Syadad bin Aus hendak tidur,tetapi dia tidak dapat tidur dan hatinya gelisah.Maka dia berkata “Ya Allah,nerakaMu menyebabkan aku berjaga malam,dan hilangkanlah daripadaku rasa mengantuk ini”.Lalu,beliau bangkit dan solat sehingga Subuh.Kisah bagaimana seorang Fakih yang takutkan neraka sehingga tidak dapat tidak tidur malam..Adakah sekuat itu iman kita? Sahabat-sahabat kita di Palestin berjuang mengangkat senjata dan bermati-matian menentang golongan kuffar,dan kita? Hendak mengangkat mata dan selimut untuk pergi solat Subuh berjemaah pun kita tidak mampu,inikan pula hendak pergi berperang.
Mari kita sama-sama muhasabah diri kita..

Suka untuk saya bercerita kisah seorang sahabat Nabi bernama Amir bin Said.Pada zaman pemerintahan khalifah Saidina Umar al-Khattab.Ketika itu,beliau baru sahaja mendirikan rumah tangga.Saidina Umar hendak melantik seseorang untuk menjadi Gabenor di negara Kufah.Dengan berasaskan takwa,Saidina Umar menawarkan jawatan tersebut kepada Amir bin Said,tetapi beliau menolak kerana amanah tersebut terlalu berat bagi beliau.Saidina Umar berkata kembali “Kenapa kamu memilih aku menjadi khalifah sedangkan kamu tidak di belakang aku?”.

Akhirnya,Amir bin Said menerima jawatan tersebut dan Saidina Umar memberikan kepada beliau sejumlah wang untuk beliau bertugas sebagai Gabenor di Kufah.Said bin Amir sebaliknya tidak menggunakan wang tersebut untuk dirinya,bahkan bersedekah kepada fakir miskin.Ketika menjadi gabenor di Kufah,pernah penduduk Kufah membuat aduan tentang kepimpinan beliau.

Penduduk Kufah mengadu tentang 3 perkara ; pertama(1),Said bin Umar tidak keluar dua kali dalam masa sebulan.Kedua(2),beliau lambat keluar untuk bertugas pada waktu pagi dan ketiga(3),beliau tidak keluar pada waktu malam.Dengan tawaddu’ Said bin Amir menjawab aduan-aduan tersebut.Beliau tidak keluar dua kali sebulan kerana beliau hanya mempunyai pakaian sehelai sepinggang.Dua hari itu digunakan untuk membasuh dan mengeringkan pakaian beliau.Beliau keluar lambat pada waktu pagi kerana beliau tidak mempunyai khadam atau hamba.Beliau dan isterinya melakukan sendiri semua kerja-kerja rumah.Beliau tidak keluar pada waktu malam kerana beliau memperuntukkan malam beliau hanya untuk beribadat kepada Allah.

Itulah satu contoh kepimpinan dan tauladan yang sepatutnya kita contohi.Walaupun bergelar gabenor,beliau tidak bermegah-megah dengan jawatan itu,bahkan semakin tawaddu’ dan rendah diri.Hendaklah kita memperuntukkan malam kita untuk beribadat kepada Rabb al-Jalil dan tidak mengisi sepenuhnya malam kita untuk melunaskan permintaan manusia kerana untuk memenuhi kehendak semua orang adalah sesuatu benda yang tak mungkin tercapai.Ubatilah hati kita selagi peluang bertaubat masih terbentang dan janganlah menunggu sehingga terbentangnya maksiat-maksiat kita di hari akhirat,baru kita hendak menyesal kerana seperti pepatah melayu “sesal dulu pendapatan,sesal kemudian tiada berguna” .
Berkata ulama’,terdapat 9 perkara yang boleh meng'islah(ubah)kan hati :

1.Membaca al-Quran dengan tadabbur dan memahami maknanya.
2.Mengosongkan perut dengan mengurangkan makan
3.Bangun malam dengan beribadat
4.Bermunajat pada waktu sahur
5.Berdamping dengan orang Soleh
6.Diam daripada perkara-perkara tidak bermanfaat
7.Uzlah daripada orang jahil
8.Jangan selalu bersama mereka(orang jahil)
9.Makan benda yang halal
Konklusinya,marilah kita sama-sama merenung dan menangisi dosa-dosa kita lakukan.Tidak rugi untuk menitiskan air mata kita kerana takutkan Allah kerana titis-titis air mata kita dan amalan-amalan baik kita umpama ‘top-up’ yang akan mengisi ‘kredit’ untuk kita pada hari perhitungan nanti,insyaALLAH..
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah,gementar hatinya..dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka..bertambah(kuat) imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal” (Al-Anfal,2)

Rujukan : Terjemahan al-Quran,Kitab Fathul Mubin Bi Syarhi Arbai’in,Kitab Al- Jawahir Al-Lu’lu’iyah Fi Syarhi Arbai’in An-Nawawiyah.

Monday, July 5, 2010

Penduduk Gaza meminta supaya dikembalikan bekalan air dan kuasa elektrik



Jumaat, 02/07/2010 -Para penduduk Gaza telah membuat satu desakkan terhadap Negara-Negara Arab Islam dan Dunia Bebas dan juga kepada sesiapa jua yang mempunyai hati dan perasaan supaya mengambil tindakan untuk mengembalikan semula bekalan air dan kuasa elektrik yang telah dipotong secara berterusan semenjak seminggu yang lepas sambil menekankan bahawa bekalan air dan elektrik tersebut hanya akan wujud untuk beberapa jam sahaja yang mana sememangnya tidak mencukupi untuk mereka menjalani kehidupan seharian.

Berdasarkan laporan daripada salah satu stesyen radio tempatan mengatakan bahawa laungan salah seorang penduduk di situ yang sudah hampir serak suaranya jelas kedengaran kerana mengadu mengatakan bahawa bekalan air tidak sampai ke rumahnya dan tidak sampai ke perumahan kawasan kejirananya semenjak lebih dari empat hari dan mengatakan lalat, nyamuk dan bermacam jenis serangga telah menghurungi rumahnya dan kawasan kejirananya kerana kotor dan air pula tiada untuk membersihkanya.

Begitu juga seorang penduduk yang lain yang hanya ingin dikenali sebagai Ummu Muhammad mengadu bahawa bekalan elektrik tidak sampai ke rumahnya dan jikalau ada pun hanya untuk beberapa jam sahaja dan keadaan tersebut kadang-kadang boleh berlaku sepanjang malam dan telah berlarutan semenjak empat bulan lebih.

sumber : http://www.palestine-info.info/ar/
penterjemah : putra duad

hidup mereka penuh dengan dugaan tetapi mereka gembira kerana SYAHID menanti tp camna plak dgn kita di Malaysia ni??? hidup aman damai, tp dikelilingi dgn dosa tiap-tiap hari...ni pon satu dugaan jugak, semoga ALLAH sentiasa melindungi kita semua daripada melakukan dosa & diterima taubat kita, ameen.....

*Presiden Iran Mahmud Ahmadinejad hari Rabu kemarin (30/6) menandatangani amandemen baru untuk hukum di Republik Syi'ah Iran yang melarang penayangan iklan untuk perusahaan-perusahan Zionis.Di antara perusahan-perusahaan yang masuk dalam daftar di Blacklist tersebut adalah Coca Cola, Nestle, Intel, dan IBM.