BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, February 12, 2011

DELETE 14 FEBRUARI DALAM MINDA KALENDAR KITA!

 
Apa istimewanya tanggal 14 Februari? Ia disambut dengan penuh kegembiraan oleh sebilangan besar rakyat dunia pada masa kini. Saban tahun, ramai tertunggu-tunggu akan tibanya tarikh tersebut. Kononnya ia adalah hari kekasih yang mana merupakan detik yang tepat buat pasangan yang hangat bercinta meluahkan rasa kasih dan cinta sesama mereka. Tidak kira dalam bentuk apa sekalipun, asalkan hasrat hati mereka tercapai.

Jika diperhatikan, budaya menyambut hari kekasih ini sudah mendapat tempat dan begitu popular dalam kalangan masyarakat kita termasuklah yang beragama Islam. Ia lebih tertumpu kepada golongan remaja biarpun ada dalam kalangan kita yang sudah berumahtangga sekalipun turut sama meraikan.

Menyimpang

Hari kekasih begitu sinonim dengan pemberian hadiah berupa coklat dan bunga mawar merah. Ia adalah lambang kasih sayang yang sangat istimewa yang diberikan. Bunga mawar dipersembahkan dalam hiasan dan balutan yang cantik manakala coklat pula disampaikan dengan bentuk dan kotak yang menarik sama ada berbentuk hati dan sebagainya. Tidak cukup dengan hadiah, ada yang meraikan dengan makan malam istimewa dan juga 'pembuktian' ketulusan cinta yang dibina. Walaupun ia jauh sekali menyimpang daripada budaya dan syariat umat Islam, namun kerana nafsu, ia dikira 'halal'.

Hari ini, umat Islam terpaksa berhadapan dengan pelbagai bentuk ancaman sama ada dari sudut budaya mahupun agama. Kita telah dijajah dari keseluruhan cara hidup, mentaliti, kelakuan dan juga amalan kerohanian yang sudah boleh dilihat adanya percampuran dengan unsur-unsur dari barat. Jadi, tidak hairanlah jika sambutan yang diraikan oleh golongan kristian turut sama disertai oleh umat Islam yang mudah terpengaruh.

Justeru, hari kekasih langsung tidak ada dalam sejarah Islam. Malah Islam sentiasa bersifat universal dan tidak dibatasi waktu, tempat,objek dan juga motif untuk menunjukkan kasih sayang. Hal ini sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, "Cintailah saudara se-Islam seperti kamu mencintai dirimu sendiri." (Riwayat Bukhari). Jadi ikutan siapakah hari kekasih ini? Apabila kita leka, kita secara tidak langsung akan meminggirkan suruhan agama dan lebih kepada mengikut hawa nafsu dan mencari keseronokan hidup. Tanpa kita sedar, rupanya kita menyambut hari pemujaan penganut kristian.

Asal-usul Hari Kekasih

Menurut catatan sejarah, pelbagai kisah yang diceritakan mengenai asal usul sambutan hari kekasih ini. Ada yang mengatakan, sebelum abad ke-17 masihi, masyarakat Rom meraikan Hari Valentine pada 14 Februari setiap tahun sebagai hari mencintai tuhan atau patung pujaan mereka. Manakala dalam penceritaan lain, hari kekasih ini diraikan oleh penganut Kristian yang memuja seorang paderi bernama St. Valentine dengan menganggap beliau seorang yang mulia kerana sanggup berkorban dan mati demi kasih sayangnya terhadap agama Kristian dan penganut-penganutnya. Walau apa pun, jelas sekali ia langsung tiada kaitan dengan hari kebesaran buat umat Islam untuk turut sama meraikannya.

Allah telah berpesan kepada hamba-Nya, amal buruk jangan dikerjakan tidak kira dalam apa jua bentuk kelakuan sekalipun tetapi manusia sering melakukan sebaliknya. Apa-apa yang dilarang, itulah yang dibuatnya. Sama ada disebabkan ceteknya ilmu agama atau kerana terlalu mengikut hawa nafsu, jawapannya ada pada diri sendiri. Yang pasti, sambutan hari kekasih sudah menjadi trend dan mereka yang tidak meraikannya dipandang kolot dan 'out dated'.

Hakikatnya, sifat manusia ini lemah. Mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat yang sengaja ingin memusnahkan dan melemahkan pegangan umat Islam. Golongan yang tidak senang dengan kehebatan Islam cuba merosakkan budaya dan akidah walau dengan apa cara sekalipun. Jika kita perhatikan, sebelum tiba tarikh 14 Februari, sebilangan besar media massa di seluruh dunia berlumba-lumba menyiarkan tentang kemeriahan menyambut hari kekasih, pasaraya dan pusat membeli belah pula membuat promosi besar-besaran dari segi hiasan, potongan harga dan juga tayangan filem-filem cinta bagi membesarkan lagi sambutan hari kasih sayang ini.

Sebagai umat Islam yang diwajibkan patuh pada ajaran Islam dan berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah, tinggalkanlah perbuatan yang sia-sia ini. Ia bukanlah hiburan yang boleh mengembirakan hati kita malah memesongkan akidah. Kita wajar tahu yang beramal mengikut sesuatu yang bertentangan dengan suruhan Allah itu boleh menjejaskan akhlak, akidah dan juga keimanan kita terhadap Allah SWT.

Tiada istilah menyambutnya sekadar suka-suka. Keterlibatan kita dengan sambutan hari kekasih yang jelas khusus untuk golongan kristian sudah dikira salah malah jatuh kepada perkara haram kerana menggalakkan pasangan berdua-duaan dan menyalurkan rasa kasih sayang diluar batas syariat. Walau bagaimanapun, bagi yang sudah berkahwin, amat digalakkan berkasih sayang tetapi janganlah membesar-besarkan tarikh 14 Februari sebagai hari yang istimewa buat diri dan pasangan tetapi jadikan setiap hari adalah hari kekasih. Selain memperolehi kebahagiaan, kita juga diberi ganjaran pahala di atas amal kebaikan yang dilakukan setiap hari.



- Artikel iluvislam.com -

Tuesday, February 8, 2011

Berbaloikah Menyambut Hari mengingati Kekasih?...

“Apa istimewanya 14 February?” tiba-tiba Kamal bertanya ketika Izwan dan kekawan sedang pot-pet-pot-pet sementara menunggu pensyarah masuk.


“Hai… takkanlah itu pun kau tak tahu? Valentine’s Day!…” balas Fikri yang tiba-tiba sahaja berpaling ke arah kami. Mungkin soalan Kamal tadi telah menarik minatnya.


“Iyalah!… Aku tahulah Valentine’s Day!… tapi apa istimewanya bagi kita orang Islam? Bukankah itu adalah budaya bagi agama Kristian, bukan agama Islam!…” Kamal mengomen, selamba.


“Entah!… Aku pun hairan juga!… bila tiba sajer Valentine’s Day tu sekarang ni… Aku tengok, orang Melayu pulak yang lebih-lebih menyambutnya!.. terutamanya budak-budak muda sekarang ni, sibuk ingatkan kekawan pasal 14 haribulan tuh!…” Zul menyampuk dengan dahi yang berkerut-kerut seolah keliru pulak.


“Tentulah!… kan sekarang ni 1 Malaysia!... jadi apa-apa perayaan pun mestilah disambut bersama!... tak kiralah agama mana yang punya!… Lagi pun Valentine;s Day tu kan maknanya Hari mengingati Kekasih!… itulah agaknya anak-anak muda ni beriya-iya sangat nak menyambutnya!…” sambil tersenyum nakal Fikri menjawab.


“Eeemm!… elok sangatlah tuh!... kau tahu tak, dalam akhbar STAR semalam ada berita mengatakan, Pihak Berkuasa tengah sibuk memantau aktiviti remaja-remaja termasuklah pelajar-pelajar IPT yang merancang hendak mengadakan pesta menyambut kononnya Hari mengingati Kekasih nih!… dah tu… Kau tahu tak apa yang mereka rancang?…” sambil membeliakkan matanya Kamal bertanya dengan nada geram.


“Apa bendanya? Aku tak baca STAR sebab Aku sekolah Arab!… “ balas Fikri lagi sengaja nak mengusik Kamal.


“Mereka nak buat pesta yang pesertanya tak boleh pakai ‘underwear atau panties’ kalau nak join pesta tuh!… “ terus dengan mata yang membulat Kamal mengetapkan bibirnya.


“Underwear tu apa? Kan Aku ni sekolah Arab… tak faham semua tu!..” sambil tertawa kecil Fikri terus mengusik.


“Heh!… kenapa bengap sangat kau ni?… sajer nak kena budak nih!.. seluar dalam lah!… takkanlah itu pun kau tak tahu!…” seolah geram betul, Kamal menjegilkan biji matanya pada Fikri.


“Ooooh!… manalah Aku nak tahu… Aku ni kan innocent, suci, lurus bendul…” sambil ketawa terbahak-bahak Fikri terus mengusik Kamal.


“Eh!… kenapa pulak sampai begitu?” Zul pulak bertanya bagaikan tidak percaya apa yang dikatakan Kamal tadi.


“Itulah yang Pihak Berkuasa sedang pantau nih!… bebudak ni nak buat maksiatlah!… dari pesta menyambut Hari mengingati kekasih terus lajak jadi pesta sex bebas pulak!… Hai… entah apalah nak jadi zaman sekarang nih?… Na’uzubillah!… takut betul Aku mendengarnya!…” keluh Kamal dengan nada yang amat kesal.


“Sebenarnya Aku pun macam tak percaya bila baca berita tuh… dan yang tambah menyedihkan, rupanya aktiviti tu bukan sahaja setakat kalangan pelajar IPT tetapi termasuk juga pelajar-pelajar sekolah Menengah!.. mereka menyebarkannya melalui kawan-kawan secara rahsia!…” Izwan yang senyap sahaja dari tadi tiba-tiba menyampuk.


“Kau tahu tak, dalam akhbar tu ada juga menyatakan bahawa pihak JPN mengesahkan bahawa lebih kurang seramai 257,000 kanak-kanak yang dilahirkan dan didaftarkan dari tahun 2000 sehingga 2008 tidak mempunyai nama bapa!… ini bermakna besar kemungkinan mereka ini anak luar nikah!… hhoooiiii… terkejut betul Aku dibuatnya!…” tambah Izwan lagi bila melihat kami semua menumpukan perhatian terhadap kata-katanya tadi.


“Heh!… seram sejuk Aku mendengarnya!…apalah nak jadi dengan remaja-remaja sekarang ni?… Inilah bahananya kalau Negara kita terlalu moden, kurang kesedaran dan didikan Agama. Tambahan peluang hiburan terlalu berleluasa tanpa kawalan!… 1Malaysia la konon yee...jadi siapa yang nak disalahkan?…” dengan nada penuh kesal juga Zul mengeluh.


“Heeemmm… entah berapa ramai pulak lagi akan lahir anak-anak yang tidak ketahuan bapanya selepas 9 bulan 10 hari dari tarikh 14 February nanti?… Berbaloikah anak-anak remaja kita menyambut hari mengingati kekasih itu?…” tanpa diduga Fikri yang suka menyakat tadi turut menyuarakan kebimbangannya.

"Alaah!... bukan takat setiap 14 February... tapi setiap lepas 31 Disember atau pun 31 Ogos, kalau di Malaysia ni... akan adalah anak-anak yang akan lahir tanpa bapa sembilan bulan kemudian!..." dengan muka selamba deeeknya Kamal menambah. Mungkin dengan perasaan geram dan kesal juga agaknya.



Marilah kita renung-renungkan, apakah tanggungjawab kita sebagai seorang Islam dan juga rakyat yang prihatin terhadap kehidupan masyarakat sekeliling kita!… Semoga Allah akan sentiasa melindungi anak-anak dan keluarga kita dari gejala maksiat yang boleh manghancurkan kehidupan di dunia dan juga di akhirat!…



P/s: 'Hari Mengingati Kekasih ' pada setiap 12 Rabiul Awal akan datang xlama lagi,,soo bnyakkanlah berselawat kepadanya… InsyaAllah…