BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, July 19, 2010

UMAT ISLAM HARI INI....DIMANA???


Tatkala keganasan di dunia ini semakin mengancam dan menindas umat Islam, masih ada golongan yang ingin memperjuangkan dan menegakkan syiar Islam. Tidak lekang di telinga kita berita mengenai penyeksaan dan penindasan ke atas umat Islam kita yang seringkali menjadi tajuk utama berita dunia saban hari. Contohnya; isu bantuan kemanusian di Gaza, kancah politik yang berlaku di Iraq, isu niqab wanita Islam di Eropah, isu nuklear Iran, dan pelbagai lagi cerita mengenai Islam pada akhir zaman ini. Terbuktilah hadis Rasulullah SAW yang menyatakan di akhir zaman, umat Nabi Muhammad SAW akan menempuhi zaman fitnah, penindasan dalam pelbagai hak, dan termasuklah antara yang pasti akan berlaku iaitu fitnah Dajjal.

Di negara kita; Malaysia, masih banyak gejala yang kurang sihat kian menjalar di dalam diri masyarakat kita, contohnya masalah politik yang menjadi perbualan harian dalam kalangan warga masyarakat, gejala sosial para remaja dan pelbagai lagi pekara negatif yang berlaku di sekeliling kita. Perkara yang paling merisaukan kita adalah golongan remaja kita pada masa kini. Hiburan yang melalaikan telah pun berjaya melekakan para pemuda Islam. Inilah senjata kaum Yahudi laknatullah 'alaihim ajma'in yang telah berjaya meresap ke dalam jiwa umat Islam seluruh dunia.

Baru-baru ini kita digemparkan dengan isu judi. Samada aktiviti ini dipantau atau diurus oleh mereka yang ingin melakukan perjudian, ia adalah satu perkara yang membimbangkan umat Islam kerana jelas dinyatakan dalam Al-quran, surah Al-Maidah ayat 90, yang bermaksud:


Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.


Setiap kemungkaran, bukan sahaja judi, tetapi juga ketagihan arak, ketagihan seks, bersubahat melakukan kezaliman, penipuan, jenayah rasuah, salah guna kuasa dan seumpamanya juga adalah sebahagian dari dosa besar yang seharusnya menjadi musuh utama umat Islam dan negara. Pada prinsipnya mereka yang terlibat dengan maksiat dan perbuatan dosa besar boleh dikatakan telah hilang kewarasan akal kerana dengan sengaja merosakan nama baik sendiri, merosakkan kepercayaan orang lain terhadap diri dan mengganggu keamanan masyarakat, dan yang lebih penting ialah perbuatan-perbuatan ini sebenarnya semakin menjauhkan diri seseorang dari Allah s.w.t.


Ke mana hilangnya jati diri generasi muda Islam yang bakal mentadbir Islam dan negara kita? Masih mampukah kita sebagai golongan remaja untuk memerintah negara ini berlandaskan lunas-lunas Islam apabila sampai masanya generasi kita pula yang akan mentadbir agama dan memerintah negara ini? Tepuk dada, tanyalah iman.


Mungkin benarlah umat Islam hari ini telah ditimpa dengan penyakit yang sangat dahsyat. penyakit itu adalah cinta akan dunia takut akan kematian.Bertetapan dengan hadith rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam yang bermaksud; Akan tiba masanya umat-umat lain akan mengajak satu sama lain untuk membinasakan kamu(umat Islam) sebagaimana orang mempelawa satu sama lain kepada dulang makanan (menjamah hidangan makanan). Seorang sahabat bertanya" apakah disebabkan bilangan kami sedikit pada masa itu ya Rasulallah?" Baginda menjawab "bahkan bilangan kamu diwaktu itu adalah ramai tetapi kamu adalah ghutha' (sampah-sarap dan buih) di atas air ketika banjir.Allah akan mencabut rasa ketakutan dari dada musuh kamu dan dia akan mencampakkan dalam hati kamu penyakit
al-wahn." Seorang sahabat bertanya pula,"Ya Rasulallah,apakah al-wahn itu?" Jawab Rasulullah," Cinta dunia dan takut mati."


Berpesan-pesanlah kepada kebaikan, sempurnakanlah solat lima waktu yang difardhukan kepada kita untuk dikerjakan pada setiap masa dan di mana sahaja kita berada. Kenali, pelajari, baca dan fahamilah kitab suci Al-Quran, kerana inilah mukjizat Rasulullah SAW yang masih ada sehingga kini yang menjadi panduan kita pada setiap masa di dunia ini.


Biasakan diri kita untuk mencintai dan menjejakkan kaki ke rumah-rumah Allah. Pada zaman kini, para pemuda dapat dilihat dalam jumlah yang sangat ramai ke masjid pada waktu solat Jumaat sahaja dan pada waktu lain pula,hanya golongan tua yang menjadi jemaah di rumah-rumah Allah. Hadis Rasulullah SAW banyak menekankan bahawa solat secara berjemaah itu lebih banyak pahalanya daripada solat secara bersendirian. Kehidupan para remaja sekarang jelas lebih didominasi hiburan-hiburan yang melalaikan daripada pemikiran yang berpaksikan tentang kebesaran Allah SWT, azab neraka, dosa, pahala serta kehidupan selepas mati iaitu alam barzakh dan alam akhirat yang pasti.





Kesimpulannya, marilah kita semua umat Islam bersama-sama mendekatkan diri kepada Allah SWT. Carilah cinta yang paling utama iaitu Allah SWT dan cinta Rasulullah SAW, dan daripada dua cinta suci ini, pasti kita akan mendapat cinta yang sepatutnya mekar di dalam kehidupan kita di dunia ini. Janganlah kita menjadi hamba Allah SWT yang cintakan dunia dan takutkan mati kerana cinta dunia ini adalah cinta yang hanya sementara, yang kekal dan abadi tentunya adalah akhirat. Mohonlah padaNya supaya kita mendapat naungan,rahmat & redhaNya serta syafaat Rasul kita, Nabi Muhammad SAW. Selawat junjungan ke atas baginda dan keluarga baginda.

No comments:

Post a Comment