BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, July 13, 2010

Shaaban menjengah kembali



Rejab sudah meninggalkan kita dengan seribu satu kelebihan. Berbahagialah mereka yang mengambil sepenuh kesempatan dari fadhilatnya. Jika diizinkan Allah kita akan berkesempatan bersama Rejab pada tahun hadapan.

Kini muncul pula bulan Shaaban. Bulan yang berada di tengah-tengah antara Rejab dan Ramadan. Bulan yang juga penuh dengan fadhilat dan keberkatannya....Shaaban yang sedang menghiasi hari-hari kita, apakah kita tahu erti disebalik bulan ini? apakah kita ada ambil ihtimam daripada fadhilat bulan ini?? oleh itu,,marilah sama-sama kita menghayati dan memahami bulan Shaaban ini sepertimana kita telah ketahui bahawa kelebihan Rejab atas bulan -bulan yang lainnya seperti kelebihan Quran ke atas segala Qalam. Kelebihan Shaa`ban atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihan atas segala anbia'(nabi-nabi). Kelebihan Ramadhan atas bulan yang lain seperti kelebihan Allah atas segala makhluknya. Semoga kita dapat peroleh manfaat yang berguna bukan sahaja untuk diri sendiri bahkan kepada seluruh umat Islam dan yang paling penting,kita pasakkan segala niat suci kita ini kerana Allah Subhanahu Wata'ala...Di sini,saya catatkan sedikit info mengenai bulan Shaaban,,renung-renungkan dan selamat beramal :-)

APA ITU SHAABAN?

Erti Syaaban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraiysh pada waktu itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir bagi menyambut ketibaan bulan yang seterusnya (bulan Ramadhan ialah bulan yang panas). Pada malam kelima belas adalah malam Nisfu Syaaban. Mengikut tradisi Islam, baginda Nabi Muhammad s.a.w. berkata yang malam ini Allah akan mengumpulkan buku amalan yang lama dan menggantikan dengan yang baru bagi tahun yang akan datang.

Apabila Rasulullah datang, Baginda mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Diantara hadis yang paling masyhur ialah; Rasulullah bertanya kepada sahabat-sahabatnya,

“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.”

PERISTIWA-PERISTIWA PENTING DI BULAN SHAABAN

1. PERTUKARAN ARAH KIBLAT

Peristiwa yang paling bersejarah yang berlaku pada bulan Syaaban ialah peristiwa pertukaran kiblat. Allah swt telah mengarahkan Rasul-Nya memindahkan kiblat sembahyang daripada masjid al-Aqsa di Bait al-Maqdis ke Kaabah di Mekah. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada seorang sahabat al-Bara' bin Azib maksudnya: "Selepas Rasulullah sampai ke Madinah al-Munawarah, baginda dan para sahabat bersembahyang berkiblatkan Baitulmakdis selama lebih kurang enam belas atau tujuh belas bulan. Selepas tempoh tersebut barulah diturunkan wahyu menyuruh baginda berpaling ke Mekah. Peristiwa pertukaran kiblat berlaku di dalam masjid Qiblatain. Suruhan pertukaran kiblat berlaku ketika Rasulullah sedang bersembahyang Asar.

Pertukaran kiblat menjadi isu besar di Madinah. Orang Yahudi mengambil kesempatan menabur fitnah memperlekehkan dakwah Rasulullah. Lalu diturunkan ayat 142 Surah al-Baqarah. Maksudnya: Akan berkata orang-orang yang kurang akalnya: ''Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblat mereka (Baitulmaqdis) yang dahulunya mereka telah berkiblat kepadanya. Katakanlah: ''Kepunyaan Allah timur dan barat, dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.

Peristiwa ini berlaku pada tahun kedua Hijrah pada bulan Syaaban. Kebenaran daripada Allah swt untuk kembali berkiblatkan Kaabah adalah contoh doa Rasulullah yang dikabulkan oleh Allah swt. Ini kerana Rasulullah sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah. Permintaan Rasulullah tersebut telah diperkenankan oleh Allah swt pada bulan Syaaban.

2. PERANG ZAT AL-RIQA'

Dalam pertempuran ini seramai 400 tentera Islam terdiri daripada berkuda dan berjalan kaki telah menghadapi kekuatan musuh daripada Banu Muharib dan Banu Tha’labah daripada Ghatfan di satu tempat di Najd bernama Zat al-Riqa’. Perang ini berlaku pada bulan Syaaban tahun ke-4 Hijrah. Perang ini berakhir dengan kemenangan di pihak Islam apabila kedua-dua kabilah musuh telah melarikan diri.

3. PERANG BANU AL-MUSTALAQ DARIPADA KHUZA'AH

Seramai 1, 000 tentera Islam telah bertembung dengan Banu al-Mustalaq di satu tempat bernama al-Mari’ pada bulan Syaaban tahun ke-5 Hijrah. Pihak musuh telah melarikan diri selepas berlaku peperangan yang pendek.

4. MALAM NISFU SYAABAN

Sesungguhnya Islam memberikan pelbagai peluang keemasan yang seharusnya diterokai dan diikuti oleh setiap penganutnya. Peluang yang diberikan oleh Islam ialah dengan memberikan pelbagai tawaran dan ganjaran yang akan diperolehi sekiranya mereka berusaha untuk mematuhi ajarannya. Inilah yang mencorakkan keindahan ajaran Islam. Semua ini bertindak sebagai pencetus daya motivasi mereka untuk terus berusaha dan bekerja di samping mengejar segala kebaikan dan menjauhi segala kejahatan. Kelebihan yang baik itu seterusnya diberikan hanya kepada mereka yang berusaha mencari kebaikan dan menghapuskan kejahatan.

Antara amalan yang amat digalakkan dilakukan dalam bulan ini ialah berdoa. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Umar, Rasulullah bersabda bermaksud, Dalam solat lima waktu yang doanya tidak ditolak ialah semasa malam Jumaat, pada malam 10 Muharram, pada malam pertengahan bulan Syaaban dan pada dua malam raya, iaitu malam hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.
Sabda Rasulullah: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)



Di samping memohon doa, umat Islam juga digalakkan untuk bertaubat dan memohon keampunan di atas keterlanjuran mereka dalam bulan ini. Rasul S.A.W bersabda bermaksud, Apabila tiba malam nisfu Syaaban, telah datang malaikat Jibril lalu berkata, pada malam ini, pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka. Maka dirikanlah solat dan pohonlah doa, sesungguhnya pada malam itu telah dibuka 300 pintu rahmat. Maka Allah mengampuni orang-orang yang tidak menyekutuiNya kecuali ahli sihir dan dukun, orang yang bermusuhan, peminum arak, pezina, orang yang memakan riba, orang yang derhaka kepada ibubapanya, orang yang suka mengadu domba atau batu api, dan orang yang memutuskan persaudaraan. Sesungguhnya mereka itu tidak akan diampun sehinggalah mereka benar-benar bertaubat dan tidak akan mengulanginya.



Selain itu,amalan yang amat digalakkan dan amat popular dalam kalangan umat-umat Islam di bulan ini ialah puasa. Amalan ini bolehlah dianggap sebagai satu amalan yang agak sukar, kerana ia benar-benar menguji ketahanan mental, emosi dan fizikal seseorang. Bagaimanapun, inilah antara amalan yang banyak ganjarannya jika dilakukan dalam bulan ini. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah bermaksud, Barangsiapa berpuasa sehari dalam bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi rakan taulan Nabi Allah Yusuf di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Ayub dan Nabi Daud. Jika dia berpuasa sebulan dalam bulan ini, dimudahkan Allah akan saat matinya, dan terlepas dari kegelapan alam kubur, bebas dari hura-hara munkar dan nankir, ditutup Allah akan aibnya, dan diwajibkan syurga ke atasnya.

Terdapat banyak nas Hadith yang menceritakan tentang fadhilat puasa sunat dalam bulan Shaaban,antaranya:

1. Telah memberitahu kepada kami Abdullah bin Yusuf Telah memberitahu kami Malik daripada Abi An-Nadhri daripada Abi Salamah daripada Sayyidatina ‘Aishah telah berkata : Rasulullah S.A.W berpuasa sehingga kita mengatakan dia tidak berbuka dan baginda S.A.W berbuka sehingga kami berkata dia tidak berpuasa. Dan aku tidak pernah melihat Rassulullah S.A.W menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda S.A.W banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya’ban. (Diriwayatkan oleh imam Bukhari di dalam sohihnya dan imam Muslim di dalam sohihnya)
2. Telah memberitahu kami Muaz bin Fudhalah telah memberitahu kami Hisham daripada Yahya daripada Abi Salamah sesungguhnya sayyidatina ‘Aishah telah memberitahunya dengan berkata : Nabi S.A.W tidak banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya’ban, dan baginda S.A.W telah berpuasa sebulan penuh pada bulan Sya’ban. Dan adalah baginda S.A.W bersabda : Lakukanlah amalan yang mana kamu mampu membuatnya maka sesungguhnya Allah tidak membebankan ( mewajib )kamu sehingga kamu merasa berat dengan bebanan. Dan apa yang disukai oleh Rasulullah S.A.W adalah sembahyang(sunat) yang sentiasa dibuat sekalipun sedikit. Dan adalah baginda S.A.W apabila mendirikan sembahyang maka baginda S.A.W sentiasa berterusan di dalam berbuat demikian.
( Diriwayatkan oleh imam Bukhari di dalam sohihnya dan imam Muslim di dalam sohihnya)
3. Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."

Sekian...

No comments:

Post a Comment